45 peratus orang asli 18 tahun ke atas di Perak lengkap vaksinasi

19,104 orang daripada keseluruhan masyarakat orang asli yang berumur 18 tahun ke atas di Perak, telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 sehingga Khamis. - Foto 123rf
19,104 orang daripada keseluruhan masyarakat orang asli yang berumur 18 tahun ke atas di Perak, telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 sehingga Khamis. - Foto 123rf
A
A
A

TANJUNG MALIM - Sebanyak 45 peratus atau 19,104 orang daripada keseluruhan masyarakat orang asli yang berumur 18 tahun ke atas di Perak, telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 sehingga Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, setakat ini terdapat seramai 42,333 individu berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos lengkap, daripada 60,795 orang penduduk keseluruhan yang berada di sembilan perkampungan orang asli di negeri ini.

“Ini merupakan hasil komitmen dan kerja keras siang malam oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) termasuk Jabatan Kesihatan negeri serta Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan Kampung Orang Asli Gangai yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, hari ini.

Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri berusaha menggunakan kaedah psikologi melalui kerjasama Jakoa dan badan bukan kerajaan (NGO) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang terdiri dalam kalangan kaum mereka sendiri bagi menjayakan proses vaksinasi di perkampungan orang asli.

Mengenai lokaliti yang dikenakan PKPD bermula Khamis dan dijangka dilaksanakan sehingga 6 Oktober itu, beliau berkata, ia melibatkan 40 buah rumah meliputi 295 orang penduduk termasuk 106 kanak-kanak dan seorang Tok Batin.

“Ketika PKPD yang telah bermula semalam (Khamis), kadar vaksinasi telah mencapai 56 peratus melibatkan 103 orang asli berusia 18 tahun ke atas yang telah diberikan vaksin daripada 184 orang yang layak di vaksin, berbanding hanya 6.52 peratus atau 12 orang sahaja sebelum ini.

“Ini satu pencapaian yang sangat memberangsangkan dan amat positif hasil daripada pelaksanaan PKPD ini bagi masyarakat orang asli,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: