24 pelajar Pulau Pinang lanjut pengajian ke Jordan

Mohd Rosdan (kiri) memberikan kata-kata semangat kepada pelajar sebelum bertolak ke KLIA.
Mohd Rosdan (kiri) memberikan kata-kata semangat kepada pelajar sebelum bertolak ke KLIA.
A
A
A

KEPALA BATAS - Peluang melanjutkan pengajian di universiti di Timur Tengah tidak akan disia-siakan selain berjanji akan membalas pengorbanan ibu bapa dengan kejayaan suatu hari nanti.

Itu tekad buat Muhammad Huwairis Mahadhir, 18 yang akan menyambung pengajiannya di Universiti Mu'tah, Jordan dalam bidang syariah tidak lama lagi.

Menurutnya, pengorbanan kedua ibu bapanya yang hanya bekerja sebagai kerani dan penyelia kilang mencari wang bagi memastikan impianya melanjutkan pelajaran tercapai amat menyentuh hatinya.

Bekas pelajar Maktab Mahmud Merbok itu berkata, walaupun menyedari kos sara hidup di Jordan agak tinggi selain menyedari keluarga bukan daripada golongan yang senang, namun demi cintakan ilmu agama, kedua ibu bapanya sanggup mengeluarkan simpanan mereka dan melakukan apa sahaja untuknya.

Hannah (kiri) mendengar nasihat yang disampaikan kedua ibu bapanya sebelum bertolak ke KLIA.
Hannah (kiri) mendengar nasihat yang disampaikan kedua ibu bapanya sebelum bertolak ke KLIA.

"Insya-ALLAH saya akan memanfaatkan sepenuhnya peluang selama empat tahun menutut di sana dan mahu berbakti kepada masyarakat di sini apabila tamat pengajian kelak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Muhammad Huwairis antara 24 pelajar dari Pulau Pinang yang diraikan dalam majlis ringkas di Masjid Abdullah Fahim di sini oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Jumaat.

Rombongan berkenaan dijangkakan berlepas ke Jordan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Turut berkongsi perasaan sama, Hannah Mohd Amir,22 yang akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Yarmouk.

Hannah yang sebelum ini pernah menuntut di Indonesia bagi peringkat sekolah menengah berkata, walaupun menyedari banyak cabaran baharu yang akan ditempuhi di sana, namun dia akan memastikan segala jasa dan pengorbanan kedua orang tuanya dapat dibalas dengan segulung ijazah.

Muhammad Huwairis (tengah) bersama ahli keluarganya mengemas beg sebelum bertolak ke KLIA.
Muhammad Huwairis (tengah) bersama ahli keluarganya mengemas beg sebelum bertolak ke KLIA.

"Sebelum ini saya pernah melanjutkan pengajian di universiti tempatan namun terpaksa berhenti dan kali ini saya akan pastikan impian mak dan ayah yang mahu melihat saya berjaya dalam pelajaran pasti akan menjadi kenyataan," katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada ZPP atas bantuan yang diberikan melalui Skim Bantuan Permulaan Ke Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara sekali gus meringankan beban keluarga.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Dermasiswa Pengajian ZPP, Mohd Rosdan Mohamad berkata, setiap pelajar menerima bantuan RM2,000 selain mereka boleh memohon dana derma siswa pengajian pada tahun depan dengan memperoleh bantuan sebanyak RM12,000 setiap seorang.

Jelasnya, sepanjang tahun ini ZPP telah menyalurkan Skim Bantuan Permulaan ke IPT kepada 1,937 pelajar yang menyambung pengajian di dalam dan luar negara dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.21 juta.

"Kita jangkakan jumlah ini akan bertambah berikutan pendaftaran permohonan dibuka sepanjang tahun.

Seramai 24 pelajar dari Pulau Pinang bakal melanjutkan pengajian di Jordan.
Seramai 24 pelajar dari Pulau Pinang bakal melanjutkan pengajian di Jordan.

"ZPP ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar zakat kerana dengan wang zakat ini dapat membantu pelajar-pelajar kita melanjutkan pelajaran mereka," katanya.