Sila log masuk terlebih dahulu.

Belum jelas kerjasama Bersatu-UMNO

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

MUAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum jelas dengan hala tuju UMNO sama ada akan terus bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau parti itu mempunyai pilihan lain.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRU15 jika parti itu memilih untuk bersama-sama.

"Hubungan kita dengan parti lain seperti UMNO dalam kerajaan sekarang memang ada di peringkat nasional dan negeri, cuma kita kurang jelas hala tujunya tetapi itu bukan hak saya untuk tentukan.

"Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita dan diterima oleh semua ahli Bersatu.

"Kita yakin akan terus berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan, ini cuma andaian (UMNO tidak sokong PN). Jadi, adalah sukar untuk saya ramalkan apa perkara yang akan berlaku," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, disebabkan situasi itu Bersatu, Pas dan Gerakan akan terus bergerak ke arah memperkukuh Perikatan Nasional (PN) termasuk memperkemas jentera masing-masing sebagai persediaan menjelang PRU15.

Beliau turut meminta setiap bahagian Bersatu memperkemas jentera sebagai persediaan dan persiapan menjelang PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Di Johor, saya minta Bersatu bergerak rapat dengan PN, kita pakai warna biru untuk bendera, logistik dan cenderahati yang wajar untuk beri impak besar kepada pengundi termasuk di seluruh negara.

"Langkah itu agar kita lebih akrab dalam menjalankan program bersama-sama dan tidak berasingan supaya rakyat mendapat mesej PN Johor memang berfungsi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yakin Pas akan terus dalam PN terutama menghadapi PRU15 berdasarkan sokongan sehingga kini daripada pucuk pimpinan Pas dan ahli parti itu dalam mesyuarat berkaitan agenda yang diperjuangkan PN.

"Setakat yang saya sedar waktu mula kita daftar PN, Pas adalah penajanya dan Pas telah bersama-sama dalam PN sejak ditubuhkan dan kemudian barulah parti lain menyertainya," katanya.