Banjir Kuala Selangor: Tiga PPS sudah ditutup

Anggota APM membuat pemantauan di beberapa kawasan kampung yang semakin surut pada Jumaat.
Anggota APM membuat pemantauan di beberapa kawasan kampung yang semakin surut pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tiga daripada empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuala Selangor di sini ditutup secara rasmi pada Jumaat.

Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, tiga PPS itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, SK Pasangan dan SK Sultan Abdul Aziz ditutup pada jam 2.48 petang.

Beliau berkata, penutupan PPS itu diputuskan berikutan tiada peningkatan paras air dan keadaan rumah mangsa banjir hampir keseluruhannya selamat untuk diduduki.

"Pemantauan berkala oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Selangor mendapati paras air semakin surut dan tiada tanda-tanda air naik," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Maizura berharap semua mangsa banjir tabah menghadapi musibah itu apatah lagi banyak barangan rosak akibat banjir selain perlu melakukan kerja-kerja pembersihan akibat kesan lumpur dan kekotoran.

Menurutnya, buat masa ini hanya sebuah PPS dibuka iaitu di SK Bukit Belimbing dan dijangka akan ditutup pada waktu terdekat.

"Seramai 54 mangsa daripada 13 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Bukit Belimbing pada Jumaat," katanya.

Sebelum ini, sebanyak lima PPS dibuka di daerah ini selepas beberapa kampung dilanda banjir sejak Sabtu lalu manakala sebuah PPS di SK Rantau Panjang Bestari Jaya ditutup pada jam 12 tengah hari pada Rabu.

Artikel Berkaitan: