Bincang iktiraf sijil vaksin Malaysia-Singapura: Muhyiddin

Muhyiddin (depan dua dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Negeri Johor, Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di Muar, pada Jumaat.
Muhyiddin (depan dua dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Negeri Johor, Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di Muar, pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Perbincangan pengiktirafan sijil vaksinasi secara bersama-sama antara Malaysia dan Singapura akan diadakan bagi memudahkan urusan rentas sempadan kedua-dua negara untuk pelbagai urusan harian.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan itu juga berupaya mengukuhkan kestabilan ekonomi ekoran aktiviti eksport dan import yang banyak membabitkan kedua-dua pihak.

"Antara perkara yang akan kita perhalusi apabila dianggap sesuai dan Singapura bersetuju (setelah) vaksinasi sudah sampai ke peringkat lengkap, sijil kita dan sijil Singapura diiktiraf bersama-sama.

"Ini akan membolehkan pergerakan antara kedua-dua negara dan sempadan lain pun akan dibuka. Semua itu akan diambil kira. Tetapi pastinya bila vaksinasi sudah meningkat, negara sudah menjadi lebih selamat, maka sempadan-sempadan berkenaan akan mula dibuka," katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Negeri Johor, Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh di sini pada Jumaat.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, beliau ada berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara berkenaan yang turut dipersetujui Hsien Loong.

Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, langkah itu memerlukan penelitian khusus membabitkan soal keselamatan dan kesihatan.

Jelas Muhyiddin, pihaknya akan meneliti data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Artikel Berkaitan:

"Dengan keadaan Covid-19 dan vaksinasi di Malaysia dan Singapura yang masih belum selesai, mungkin beliau (Hsien Loong) agak berhati-hati," katanya.

Menurutnya, perbincangan mengenai sempadan sering diutamakan dalam mana-mana mesyuarat termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri yang bukan sahaja perlu dibuka kepada pelancong luar tetapi rakyat negara ini yang mahu ke negara lain.

"(Tetapi) soal rentas daerah dan negeri pun masih belum dibuka, apatah lagi rentas antarabangsa untuk orang nak keluar negara lain atau pun orang asing yang mahu datang ke Malaysia," katanya.