Lelaki sumpah laknat dakwa adiknya diganggu pendakwah terkenal

 Video sumpah laknat yang didakwa dilakukan abang mangsa.
Video sumpah laknat yang didakwa dilakukan abang mangsa.
A
A
A

SHAH ALAM - Video seorang lelaki yang melakukan sumpah laknat mendakwa adiknya diganggu secara seksual oleh seorang pendakwah terkenal tular di media sosial.

Video berdurasi 46 saat yang didakwa perbualan di antara pendakwah terbabit dan mangsa dimuat naik bersama beberapa gambar dan tangkap layar oleh Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menerusi akaun media sosial miliknya.

Dalam klip video berkenaan, lelaki tersebut mendakwa adiknya mengalami kemurungan dan tekanan perasaan malah cuba membunuh diri susulan menerima gangguan seksual menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video daripada individu terbabit.

Menurut Firdaus Wong menerusi satu hantaran di Telegram miliknya, mangsa dan keluarga mereka menyokong dan sentiasa memberikan kata-kata sokongan kepadanya dalam usaha beliau untuk menegakkan kebenaran.

"Setelah perbualan saya bersama mangsa dan ahli keluarganya menerusi Google Meet selama hampir dua jam kelmarin, ahli keluarga mangsa yang sangat 'supportive' ini meminta saya kongsikan video sumpah laknat mereka.

“Ini adalah video sumpah laknat (mubahalah) daripada abang mangsa sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah daripada pendakwah tersebut sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri," katanya.

Firdaus Wong memberitahu, muka abang mangsa terpaksa dikaburkan dan suaranya perlu diubah dalam rakaman tersebut untuk melindungi keluarga mangsa.

"Buat masa ini, nama dan wajah mereka dirahsiakan dahulu. Akan tiba masanya mereka semua akan tampil ke khalayak ramai demi sebuah kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk sebegitu," katanya di media sosial itu.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan).