Warga emas mengaku tidak bersalah bakar rumah keluarga kekasih

Yeow Sin (tengah) tidak mengaku bersalah membakar rumah kekasih dan mencederakan wanita itu di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.
Yeow Sin (tengah) tidak mengaku bersalah membakar rumah kekasih dan mencederakan wanita itu di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat terhadap tuduhan membakar rumah keluarga kekasihnya dan mencederakan wanita tersebut.

Lim Yeow Sin, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan menggunakan api sehingga menyebabkan kebinasaan rumah milik En Lim Asun @ Lim Kim Soon,78, sehingga menyebabkan kerugian lebih RM80,000.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.20 petang di Rumah Awam Bertam Malim pada 17 September lalu.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan tangan di siku seorang wanita iaitu Lim Shu Lin, 46, kira-kira jam 8 malam di lokasi sama, pada 16 September lalu.

Kali ini dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari yang memohon tertuduh dihantar menjalani ujian psikiatri di Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru dan tidak dibenarkan untuk dijamin sehingga prosedur tersebut selesai dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Yeow Sin yang tidak diwakili peguam bagaimanapun enggan mengemukakan sebarang rayuan.

Mahkamah bersetuju untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 22 Oktober depan.