Ops Gerak: Empat pemandu positif dadah di Serian

Mereka yang didapati positif itu telah ditahan pihak AADK untuk tindakan lanjut. Gambar hiasan
Mereka yang didapati positif itu telah ditahan pihak AADK untuk tindakan lanjut. Gambar hiasan
A
A
A

SERIAN - Seramai empat pemandu didapati positif dadah dalam satu operasi bersepadu pemeriksaan kenderaan bermotor atau Ops Gerak yang dijalankan di Jalan Kuching-Serian di sini pada Jumaat.

Keempat-empat individu itu merupakan antara 18 pemandu yang menjalani ujian pengesanan dadah yang dilaksanakan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bersepadu itu yang turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mereka yang didapati positif itu telah ditahan pihak AADK untuk tindakan lanjut,” kata Pengarah JAS Sarawak Hamzah Mohammad pada sidang media di akhir operasi terbabit yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Ozon Sedunia dan Bulan Inovasi Perkhidmatan Sarawak 2021.

Menurut Hamzah, operasi itu bermula sejak 20 Sept lepas telah memeriksa 1,378 kenderaan dengan lima kompaun dan empat notis arahan dikeluarkan oleh JAS.

“Hari ini sahaja, sebanyak 83 kenderaan telah diperiksa dengan satu kompaun dan satu notis arahan pemeriksaan semula kenderaan dikeluarkan JAS, sementara pihak polis dan JPJ pula masing-masing mengeluarkan sebanyak 20 kompaun atas pelbagai kesalahan jalan raya,” tambahnya. -Bernama

Artikel Berkaitan: