Tiga kakitangan AADK didenda buat tuntutan palsu

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiga kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dikenakan denda di Mahkamah Khas Rasuah di sini, selepas mengaku bersalah membuat tuntutan menggunakan dokumen palsu.

Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh, Razilah Sahad, 39, berhadapan lapan pertuduhan alternatif manakala tertuduh kedua, Mohd Hanip Juarip, 33, dan tertuduh ketiga Panduan Paglin, 40, masing-masing berhadapan enam pertuduhan alternatif.

Menurut pertuduhan, Razilah yang menjawat jawatan sebagai Pembantu Anti Dadah AADK antara April 2017 sehingga Disember 2017 di pejabat AADK Sabah telah menggunakan dokumen palsu iaitu resit penginapan untuk membuat tuntutan elaun perjalanan.

Bagi tertuduh kedua, Mohd Hanip yang menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Anti Dadah antara Februari 2017 hingga Ogos 2017 di pejabat AADK Sabah telah menggunakan dokumen palsu iaitu resit penginapan untuk membuat tuntutan elaun perjalanan dengan jumlah tuntutan palsu RM1,473.

Tertuduh ketiga, Panduan yang menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Anti Dadah pada Mac 2017 hingga November 2017 di pejabat AADK Sabah telah menggunakan dokumen palsu iaitu resit penginapan untuk membuat tuntutan elaun perjalanan dengan jumlah keseluruhan tuntutan palsu RM3,443.

Ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Razilah dikenakan denda RM12,000 manakala Mohd Hanip dan Panduan masing-masing dikenakan denda RM9,000 dan kesemua mereka membayar denda berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tiga tertuduh diwakili peguam daripada syarikat guaman Adnan Puteh & Saleh Co.