Unit Amal bantu kebumi pesakit Covid-19

Sukarelawan Unit Amal DUN Pengkalan Berangan bersedia dengan pakaian PPE untuk urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.
Sukarelawan Unit Amal DUN Pengkalan Berangan bersedia dengan pakaian PPE untuk urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.
A
A
A

MARANG – Membantu menguruskan pengebumian pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dengan pakaian perlindungan diri (PPE) memberi pengalaman baharu kepada petugas dan sukarelawan Jabatan Amal Malaysia.

Ketua Lajnah Kebajikan Unit Amal Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Mohd Tajuddin Ibrahim berkata, mereka terlibat dalam urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 sejak bulan lalu selepas berlaku peningkatan kematian.

Menurutnya, sebelum ini kumpulan itu pernah menawarkan diri di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marang membantu menguruskan pengebumian pesakit Covid-19 apabila kes kematian bertambah.

“Seramai 12 ahli Unit Amal DUN Pengkalan Berangan terlibat secara bergilir-gilir dan kami berbesar hati dapat membantu keluarga mangsa Covid-19,” katanya pada Jumaat.

Menurut Mohd Tajuddin, sehingga kini pihaknya sudah membantu menguruskan sembilan jenazah pesakit Covid-19 di DUN Pengkalan Berangan bersama PKD, Jabatan Bomba dan Penyelamat, ahli keluarga dan penduduk kampung.

Pengebumian jenazah pesakit Covid-19 pada waktu malam turut disertai Unit Amal DUN Pengkalan Berangan.
Pengebumian jenazah pesakit Covid-19 pada waktu malam turut disertai Unit Amal DUN Pengkalan Berangan.

Beliau berkata, Unit Amal DUN Pengkalan Berangan merupakan Unit Amal pertama yang terlibat dalam menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Terengganu.

Kata Mohd Tajuddin, penglibatan dalam urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 menyedarkan mereka tanggungjawab dan pengorbanan dilalui barisan petugas hadapan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Memakai PPE sehingga dibasahi peluh dan ketiadaan ahli keluarga terdekat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan turut menginsafkan sukarelawan JAM.

“Pakai PPE yang panas, sarung tangan, pelindung muka dan patuh kepada SOP ditetapkan sepanjang urusan pengebumian bukan tugas mudah. Lebih-lebih lagi jika tiada jengkaut untuk menggali kubur, memang memeritkan,” katanya.