IHP tunjuk peningkatan 2.0 peratus pada Ogos

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

INDEKS Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 2.0 peratus pada Ogos 2021 kepada 122.5 berbanding 120.1 pada bulan sama tahun lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP kekal positif untuk bulan ketujuh berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada tahun lalu.

“Peningkatan ini didorong terutama oleh kenaikan dua-digit dalam kumpulan pengangkutan iaitu 11.0 peratus berikutan penetapan harga siling petrol RON95 kepada RM2.05 seliter bermula Mac 2021 berbanding harga purata RM1.68 pada Ogos 2020.

“Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.2 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, bagi perbandingan bulanan, IHP kekal tidak berubah berbanding Julai 2021.

“Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain masing-masing meningkat 0.1 peratus, namun diimbangi dengan penurunan bagi pengangkutan (-0.1 peratus) dan Pendidikan (-0.1 peratus).

“Penetapan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol oleh kerajaan berkuat kuasa 1 Ogos 2021 sedikit sebanyak meredakan inflasi bagi subkumpulan minyak dan lemak kepada negatif 0.4 peratus daripada 0.2 peratus pada Julai 2021,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, enam negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.0 pada Ogos tahun lalu berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

“Antaranya adalah Terengganu (2.6 peratus), Sarawak (2.4 peratus), Pahang (2.4 peratus), Kelantan (2.4 peratus), Perak (2.1 peratus) dan Kedah, Perlis (2.1 peratus). Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8 peratus), diikuti Kelantan (1.4 peratus) dan Pahang (1.3 peratus). Negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 1.2 peratus pada Ogos lalu,” katanya.