X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Keputusan kes SUV terhumban ke laut Rabu depan

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian rakannya yang juga pelajar kolej, Moey Yun Peng, 20 di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau menuju ke Prai, kira-kira jam 3 pagi pada 20 Januari 2019.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Majistret di sini menetapkan Rabu depan (29 September) sebagai tarikh keputusan bagi kes bekas pendandan rambut yang didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar kolej dengan memandu secara melulu dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai Majistret membuat keputusan itu selepas peguam tertuduh, K Paramanathan memberitahu mahkamah bahawa dia hanya menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan pada Khamis dan masih belum membalasnya.

"Menurut pihak pendakwaan, mereka mengirim hujahan bertulis itu melalui emel kepada saya tetapi saya tidak menerimanya.

"Oleh demikian, saya meminta mahkamah sedikit tempoh untuk menelitinya selain membalas hujahan bertulis tersebut," katanya kepada mahkamah pada Jumaat.

Keputusan pada akhir kes pendakwaan sepatutnya ditetapkan pada Jumaat.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 12 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim berkata, ia merupakan kes kepentingan awam dan tidak boleh ada kelewatan lagi.

Dua tahun lalu, M Vaitheswaran, 23, didakwa menyebabkan kematian rakannya yang juga pelajar kolej, Moey Yun Peng, 20, di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau menuju ke Prai, kira-kira jam 3 pagi pada 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM20,000, jika disabit kesalahan.

Dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu digantung sehingga perbicaraan berakhir.

Tertuduh juga diminta melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Dalam kejadian itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang dipandu oleh Yun Peng terhumban ke laut setelah bertembung dengan Toyota Vios yang dipandu tertuduh.

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut selesai Selasa petang, 22 Januari.

Mayat Yun Peng yang masih berada di tempat duduk pemandu dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang ditemukan dalam SUV yang remuk.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!