Capaian internet di Pekan bertambah baik

Menara telekomunikasi baharu Kampung Alor Ara, Pekan sudah siap dibina.
Menara telekomunikasi baharu Kampung Alor Ara, Pekan sudah siap dibina.
A
A
A

PEKAN - Pembinaan dua menara telekomunikasi baharu serta naik taraf 23 stesen pemancar membolehkan penduduk di 25 kampung di daerah ini mendapat liputan internet yang lebih baik.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerja-kerja pembinaan menara baharu dan naik taraf itu siap sepenuhnya pada 31 Ogos lalu.

"Penduduk yang akan mendapat liputan lebih baik ini melibatkan Kampung Alor Ara, Kampung Langgar, Kampung Landai, Kampung Paya Tasik Mentiga, Bandar 2 Paloh Hinai, Nenasi, Kampung Dusun, Kampung Cawai, Ladang Bebar dan Kampung Batu 16.

"Turut terlibat Kampung Pandan, Kampung Badong Dalam, Kampung Pengkalan Kulim, Permatang Becair, Simpang Chini, Peramu Jaya 3, Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana Peramu, Taman Intan Peramu, Felda Chini 1 hingga 4, Kampung Permata dan Kampung Ketapang," katanya di sini pada Jumaat.

Mohammad Fakhruddin sebelum itu diberi taklimat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan pencapaian terkini semua projek-projek yang sedang dilaksanakan kerajaan Pahang bersama SKMM.

Katanya, projek-projek terbabit dilaksanakan bagi meningkatkan pencapaian internet dan telekomunikasi di seluruh Pahang termasuk di Pekan.

Jelasnya, secara keseluruhannya, pelaksanaan projek infrastruktur komunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Pekan berjalan dengan lancar.

"Sebanyak 22 menara (telekomunikasi) baharu akan dibina dan 126 stesen pemancar akan dinaik taraf ke rangkaian 4G seperti dirancang.

Artikel Berkaitan:

"Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 2,099 premis akan disediakan dengan capaian rangkaian gentian optik manakala di seluruh Pahang, sebanyak 270 menara baharu akan dibina dan 893 buah kawasan terlibat dalam usaha menaik taraf stesen pemancar 3G kepada rangkaian 4G," ujarnya.

Beliau menambah, projek ini sedang dilaksanakan secara berperingkat serta dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun hadapan.