23 ahli Geng Amir@ Kecik samun kedai emas diberkas

Abd Jalil melihat hasil rampasan pada sidang media di IPD Gombak pada Jumaat.
Abd Jalil melihat hasil rampasan pada sidang media di IPD Gombak pada Jumaat.
A
A
A

GOMBAK - Seramai 23 individu dari Geng Amir @ Kecik termasuk dua wanita yang disyaki terlibat sindiket samun kedai emas diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada 12 September hingga Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Jalil Hassan berkata, hasil siasatan mendapati tujuh suspek melakukan samun manakala enam lagi sebagai pembeli barang kemas hasil samun serta dua suspek menyimpan hasil samun.

"Lapan suspek lagi merupakan rakan sejenayah yang mempunyai pengetahuan mengenai kegiatan samun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada Jumaat.

Abd Jalil berkata, polis turut merampas pelbagai hasil samun kedai emas termasuk enam ketulan yang telah dileburkan anggaran berat 645.7 gram bernilai RM159,488.

"Turut dirampas empat rantai leher emas bernilai RM30,381 dan masing-masing dua rantai tangan emas serta satu rantai kaki bernilai RM11,214 dan RM2,396.

"Barangan lain yang dirampas ialah tiga buah motosikal, sebilah parang, tiga topi keledar, dua helai jaket, 25 keping resit jual beli emas dan 15 telefon bimbit.

Abd Jalil menunjukkan gambar dua individu yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes samun kedai emas.
Abd Jalil menunjukkan gambar dua individu yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes samun kedai emas.

"Modus operandi kumpulan ini adalah menyamun kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak dan tukul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abd Jalil memberitahu, ahli kumpulan penjenayah itu akan berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang dijadikan sasaran.

"Kumpulan penjenayah itu menggunakan dua buah motosikal sama dan akan menukarkan 'cover set' motosikal serta membakar pakaian selepas melakukan samun," katanya.

Beliau berkata, polis kini mengesan dua lelaki yang dikenali sebagai 'Boy Selayang' dan 'Atai@Atailah' bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden I Agilan di talian 03-61262222 atau 019-5230801 dan Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 03-9289922 atau 016-2014334," katanya.

Abd Jalil berkata, susulan tangkapan kesemua suspek pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes samun kedai emas di sekitar Lembah Klang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.