Padah guna pasport individu lain dapatkan vaksin

Tertuduh semasa dibawa ke Mahkamah Majisteret Seremban pada Jumaat.
Tertuduh semasa dibawa ke Mahkamah Majisteret Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga negara Bangladesh dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas didapati bersalah menggunakan pasport milik individu lain untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19, di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret, Norzaliza Tesmin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mizan Nur Rahman, 26, mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Mizan didapati telah memperdayakan Muhammad Nur Ikhwan Hamzah dengan curang sehingga mendorong beliau memberikan vaksin Covid-19 itu kepada tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) Mega di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai jam 10 pagi pada 13 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban didapati tidak memiliki sebarang pas sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini dan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan.

Tertuduh kemudiannya dihantar ke Penjara Jelebu untuk menjalani hukuman.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd. Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.