Peniaga barang lusuh didakwa bakar tiga kereta

Tertuduh (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh pada Jumaat.
Tertuduh (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang peniaga barangan lusuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan membakar tiga buah kenderaan.

Bagaimanapun Ang Ban Yong, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan perbuatan membakar menggunakan minyak petrol dengan mengetahui tindakan itu berkemungkinan akan menyebabkan kerosakan kepada tiga buah kereta milik dua individu berusia 37 dan 35 tahun yang nilainya melebihi RM50,000 atau lebih.

Tindakan itu didakwa dilakukan di Taman Datuk Tamby Chik Karim, kira-kira jam 11.55 malam pada 12 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari dan tertuduh diwakili peguam Loong Meng Si.

Sivashangari mencadangkan jaminan RM15,000 diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan, bagaimanapun tertuduh menerusi peguam belanya merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh perlu menyara isteri serta anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 selain menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: