Penyebaran video, mesej lucah boleh ganggu siasatan: Bukit Aman

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

GOMBAK - Penyebaran bukti dan maklumat di media sosial berkaitan dakwaan gangguan seksual seorang pendakwah terkenal menyebabkan proses siasatan terganggu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, bukti itu wajar diserahkan kepada polis dan bukan disebarkan di media sosial.

"Kita buka satu kertas siasatan berhubung penyebaran video dan mesej lucah kerana ia mengganggu siasatan membabitkan pendakwah terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada Jumaat.

Abd Jalil turut menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membantu polis melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

"Kita juga meminta orang ramai menghormati siasatan yang sedang dijalankan secara lebih terperinci," katanya.

Pada Khamis, Bukit Aman mengesahkan satu kertas siasatan berhubung video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram yang didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal telah dibuka.

Abd Jalil Hassan memaklumkan, siasatan telah dijalankan dan tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

Artikel Berkaitan: