Ekuinas sedia RM10 juta bantu usahawan mikro

No Image Caption
A
A
A

EKUITI Nasional Bhd (Ekuinas) dengan kerjasama 14 entiti pengurusan zakat negeri akan menyalurkan dana RM10 juta menerusi Iltizam Program Mentor Usahawan (EMP) Ihsan, bertujuan membantu 4,000 usahawan mikro dan kecil bumiputera yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, sehingga kini sejumlah RM1.5 juta telah diagihkan kepada entiti pengurusan zakat di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Matlamat khusus Iltizam EMP Ihsan adalah membantu perusahaan mikro dan kecil untuk bangkit semula dan meneruskan perniagaan, di samping membantu mereka menjana pendapatan berterusan untuk menyara kehidupan seharian.

“Program ini juga akan membantu penjanaan semula ekonomi negara dalam jangka panjang. Bagi membantu ekonomi negara, ia tidak seharusnya menjadi tanggungjawab kerajaan sahaja malah semua pihak yang berkemampuan perlu turut serta menghulurkan bantuan,” katanya ketika pelancaran Iltizam EMP Ihsan secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, enam pusat pengurusan zakat negeri kini dalam proses perbincangan dengan Ekuinas manakala lima lagi akan memulakan perbincangan dalam masa terdekat.

Iltizam EMP Ihsan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Ekuinas di bawah teras keusahawanan yang menyediakan bantuan kewangan secara sekali beri sebanyak RM2,000 kepada usahawan mikro dan kecil.

Syed Yasir Arafat berkata, permohonan dana berkenaan boleh dibuat di pusat pengurusan zakat negeri masing-masing berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan iaitu perniagaan sepenuh masa yang dimiliki oleh bumiputera sepenuhnya selain berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan.

Pemilik perniagaan juga mesti daripada golongan asnaf; bekas asnaf; golongan B40 yang terjejas atau kehilangan kerja akibat pandemik dengan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang belum menerima sebarang insentif tunai; ibu atau bapa tunggal; orang kelainan upaya; dan penghidap penyakit kronik, katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dana EMP Ihsan boleh digunakan untuk keperluan modal perniagaan sedia ada, modal perniagaan baharu dan bantuan perbelanjaan kos operasi perniagaan.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan Ekuinas, pihaknya menjelaskan rangka kerja tadbir urus pelaksanaan program tersebut turut dirangka seperti yang dipersetujui entiti pengurusan zakat.

Ini supaya keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan dana, semakan bulanan dan pemantauan status perniagaan tersebut dipantau secara berperingkat, tambahnya.

“Matlamatnya adalah untuk membina bagi memastikan kualiti dan mencapai keputusan yang dikehendaki,” jelasnya. - Bernama