Gempa bumi 7.0 landa bandar terbesar Alaska

Keadaan jalan raya rosak teruk akibat gempa bumi kuat di bandar Alaska. - Foto Reuters
Keadaan jalan raya rosak teruk akibat gempa bumi kuat di bandar Alaska. - Foto Reuters
A
A
A
LOS ANGELES - CALIFORNIA. Satu gempa bumi kuat melanda Anchorage semalam, menggegarkan kediaman dan premis perniagaan di bandar terbesar Alaska itu, selain menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Menerusi laporan AFP, gempa berukuran 7.0 itu berpusat 13 kilometer di utara Anchorage dan berlaku pada jam 8.29 pagi (waktu tempatan), kata Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Menurut jabatan polis, insiden berkenaan menyebabkan berlaku kerosakan besar kepada bandar berkenaan.

“Banyak rumah dan bangunan rosak dan kejadian ini turut menyebabkan jalan raya serta jambatan ditutup,” kata jabatan berkenaan dalam satu kenyataan.

Setakat ini, tiada maklumat terkini diterima berhubung kecederaan atau kematian.

Amaran tsunami turut dikeluarkan untuk Cook Inlet dan Semenanjung Kenai namun ditarik semula tidak lama selepas itu.

Susulan kejadian itu, penduduk Anchorage memuat naik ratusan gambar dan video di Twitter yang memaparkan kerosakan- kerosakan yang berlaku akibat gempa tersebut.

Dalam pada itu, sebuah syarikat penyiaran tempatan turut menyiarkan video yang menunjukkan sebuah bilik bergoyang dengan kepingan siling jatuh, lampu berkelip-kelip dan orang ramai menyorok di bawah meja.

“Orang ramai bertempiaran lari dari sebuah kedai kopi yang saya kunjungi di Anchorage ketika gempa itu berlaku,” kata wartawan portal Energy Desk, Mat Herz di Twitter.
Artikel Berkaitan:


Syarikat Gas Asli Enstar turut memberi amaran kepada penduduk agar berhati-hati terhadap kebocoran gas manakala syarikat air utama berkata, terdapat kawasan yang terputus bekalan air.

Manakala pihak berkuasa perbandaran memberi amaran kepada orang ramai untuk segera mencari jalan keluar, malah sedang berusaha untuk memulihkan elektrik yang terjejas.

Lapangan Terbang Anchorage menghentikan operasi penerbangan buat sementara waktu. Begitu juga dengan Universiti of Alaska yang membuat pengumuman yang sama.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar White House, Sarah Sanders berkata, Presiden Donald Trump telah diberi taklimat tentang gempa itu dan memantau laporan kerosakan.

"Kami berdoa untuk keselamatan semua orang Alaska!" katanya.