Cuepacs mohon Cola penjawat awam di Sarawak, Sabah dinaikkan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak berharap kerajaan dapat menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) sebanyak RM50 untuk penjawat awam di Sarawak serta Sabah dalam Belanjawan 2022.

Pengerusinya, Omar Bahrein Unin berkata, ini penting terutama dalam menangani peningkatan kos sara hidup di dua negeri tersebut.

Tambah beliau, peningkatan itu dapat memberi pendapatan tambahan buat penjawat awam di Sarawak dan Sabah sebagaimana dinikmati rakan mereka di Semenanjung sejak Januari 2020.

“Walaupun penjawat awam di Sabah dan Sarawak mendapat elaun wilayah, ia adalah elaun sedia ada yang memang telah dinikmati tanpa pertambahan perbezaan RM50 sebulan sejak Januari 2020 seperti diperoleh penjawat awam di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Omar berkata, Cuepacs Sarawak juga memohon kerajaan menyemak semula kadar bayaran elaun wilayah bagi penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak dan Sabah.

Kata beliau, elaun tersebut tidak pernah disemak sejak pelaksanaannya pada 1988. - Bernama

Artikel Berkaitan: