MBSA tawar pengurangan kompaun sepanjang Oktober

Shahrin
Shahrin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun RM10 bagi kesalahan tempat letak kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-21.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen berlangsung selama sebulan bermula 1 Oktober depan.

Menurutnya, MBSA turut menawarkan pengurangan kompaun sehingga 70 peratus daripada bayaran sebenar bagi kesalahan lain.

"Jenis-jenis kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan sehingga 70 peratus ialah kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

"Turut layak menerima pengurangan kompaun ialah Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007, " menurut kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kempen berkenaan merupakan inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

Katanya, orang ramai boleh membuat pembayaran kompaun di kaunter utama atau kaunter pandu lalu di Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam selain Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

"Saluran bayaran JomPAY juga telah diperkenalkan bagi memudahkan OKK membuat bayaran kompaun kesalahan tempat letak kereta.

Artikel Berkaitan:

"OKK hanya perlu memasukkan 'biller code' 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran," katanya.

Selain itu katanya, OKK juga boleh menjelaskan bayaran melalui SnapNPay, Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat bagi kesalahan yang sama.