Pengusaha hotel sedia terima kunjungan pelancong

Hezrin (kanan) ketika memantau staff hotel menjalankan proses sanitasi di setiap bilik Hotel Renaissance, Permas Jaya di Pasir Gudang pada Khamis.
Hezrin (kanan) ketika memantau staff hotel menjalankan proses sanitasi di setiap bilik Hotel Renaissance, Permas Jaya di Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Peralihan ke Fasa Dua Program Pemulihan Negara (PPN) di Johor yang bermula Jumaat dijangka akan terus memberikan impak positif kepada pelbagai pengusaha perniagaan khususnya pemain industri perhotelan di negeri ini.

Pengumuman itu juga dilihat sebagai permulaan baik kepada industri pelancongan negeri yang dijangka menerima kunjungan hebat pelancong meskipun ketika ini hanya dari daerah-daerah lain.

Ketua Komunikasi Pemasaran Hotel Renaissance, Hezrin Ali berkata, pihaknya juga telah bersedia untuk menerima pengunjung dengan kerangka pematuhan prosedur operasi standard (SOP) telah selesai diterapkan.

“Kami jangkakan kunjungan daripada pelancong akan meningkat, pastinya orang ramai sudah tidak sabar untuk keluar setelah hampir setahun tidak boleh keluar dan bercuti.

“Peralihan ini juga sudah semestinya membantu kami untuk bernafas kembali sekali gus meningkatkan lagi hasil perolehan sedia ada," katanya ketika ditemui di Hotel Renaissance, Permas Jaya di sini pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bersetuju membenarkan peralihan fasa PPN bagi Johor berkuat kuasa 24 September.

Hezrin berkata, pihaknya juga tidak mempunyai masalah dan akan memastikan setiap SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi sepanjang operasi hotel berjalan.

“Kami akan patuh semua SOP yang akan ditetapkan termasuk pelanggan juga harus lengkap dua dos vaksin. Bukan itu sahaja malah pekerja kita juga sudah lengkap divaksin untuk memberikan keyakinan kepada pengunjung.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita juga telah menjalankan semburan sanitasi di setiap bilik-bilik dan ruang hotel serta menyediakan garisan pemisah dua meter seperti dikehendaki,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan hotel sudah lengkap dengan keperluan kawalan SOP seperti penghalang di bahagian pendaftaran pelanggan, semburan sanitasi setiap bilik hotel dan penjarakan meja makan.

Selain itu, skala ruangan makanan juga dilihat telah dikecilkan apabila had pengunjung untuk satu-satu masa berkurangan daripada 200 orang kepada 100 orang sahaja.