Pentadbir sekolah, guru JAIS sedia beri pembelajaran secara fizikal

 (Gambar kecil: Mohd Zawawi)
(Gambar kecil: Mohd Zawawi)
A
A
A

SHAH ALAM - Pentadbir sekolah dan guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini bersedia memberi pembelajaran secara fizikal dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi sesi pembukaan sekolah akan datang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, JAIS kini dalam usaha bagi memastikan semua guru-guru mendapat dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi.

"Kepada yang belum mengambil vaksin atau belum lengkap dua dos dan inkubasi disaran supaya mulakan pengambilan dos pertama pada kadar segera," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai perkembangan isu membabitkan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pentadbir masjid dan jurunikah yang menolak vaksin di negeri itu.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, JAIS juga akan sentiasa mengikuti perkembangan terkini SOP Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung keprihatinan baginda terhadap kesihatan dan kesejahteraan guru, pelajar dan masyarakat umumnya.

Pada Rabu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 orang guru KAFA, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri itu hadir pada program vaksinasi khas Covid-19 barisan hadapan JAIS.

Menerusi kenyataan dalam akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 orang yang hadir, menolak untuk divaksin.

Baginda bertitah, situasi itu amat mengecewakan kerana kedegilan individu tersebut hanya menyusahkan urusan rakyat terutama murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA.

Artikel Berkaitan:

Baginda akan meneliti nama-nama guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah yang memutuskan untuk tidak divaksin.

Satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak, menurut kenyataan itu pada Rabu.

Tegas baginda lagi, pelbagai inisiatif telah dilakukan khususnya daripada gesaan baginda sendiri dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam negeri itu.