Malaysia pamer, promosi produk kayu mampan Ekspo 2020 Dubai

Foto Malaysia Pavilion Expo 2020 Dubai
Foto Malaysia Pavilion Expo 2020 Dubai
A
A
A

PAVILION Malaysia di Ekspo 2020 Dubai akan mempamerkan kayu-kayan dan produk berasaskan kayu Malaysia di samping dasar yang menyokong pembangunan industri yang lestari.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) menjelaskan, pelaksanaan pembangunan mampan bagi industri perkayuan dalam sektor komoditi tani akan menjadi naratif penting bagi pengunjung dan delegasi perdagangan ke Pavilion Malaysia.

Pavilion Malaysia mengangkat tema ‘Energising Sustainability’ di ekspo dunia itu yang akan berlangsung mulai 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022, di samping mengetengahkan kayu meranti sebagai bahan untuk mewujudkan Pavilion Kanopi Hutan Hujan Malaysia sekali gus menunjukkan pernyataan tegas mengenai sumber perhutanan mampan negara.

Berona nada merah kecoklat-coklatan pekat, kayu meranti memiliki daya rintangan yang tinggi daripada meleding atau memutar dan sangat sesuai untuk pengacuan dan kerja kayu dalaman.

Pegawai Bertanggungjawab MTCC, Siti Syaliza Mustapha berkata, amalan Pengurusan Hutan Mampan (SFM) telah lama dilakukan Malaysia iaitu sejak hampir separuh abad lepas.

“Selain itu, bahan yang digunakan diperakui sepenuhnya di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang memberikan jaminan bahawa bahan itu adalah dari hutan yang diuruskan secara mampan,” katanya.

MTCS disokong oleh Program Endorsemen Pensijilan Hutan (PEFC), sistem pensijilan hutan terbesar di dunia.

MTCC juga menambah, produk berasaskan kayu dan kayu-kayan mampan Malaysia akan dipromosikan menerusi pameran tetap di Pavilion Malaysia selain melalui program perdagangan dan perniagaan selama seminggu mengenai Komoditi Tani Mampan (Bukan Makanan).

Artikel Berkaitan:

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan mengetuai usaha promosi ini mulai 23 hingga 29 Jan, 2022.

“Malaysia menyasar untuk memanfaatkan acara global itu dalam usaha meningkatkan perdagangan komoditi ini dengan negara-negara Timur Tengah yang dikenal pasti sebagai pasaran yang mempunyai potensi luas untuk peluasan,” jelasnya.

Kepentingan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai sebuah pasaran bagi Malaysia terbukti dengan penubuhan pejabat serantau MTC di Dubai untuk Asia Barat dan Afrika.

Pada 2020, Malaysia merupakan antara 10 negara utama bagi eksport papan lapis (kelima), perabot kayu (keenam), bingkai kayu (keenam) dan pengacuan (kesembilan) selain 20 negara utama bagi kayu gergaji (ke-13), papan gentian (ke-17) serta pertukangan kayu halus dan dan pertukangan kayu pembina (ke-18).

Eksport kayu-kayan dan produk berasaskan kayu ke UAE bernilai AS$77.2 juta (RM322 juta) pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili berkata, perabot, kayu gergaji dan papan gentian merupakan antara produk kayu utama yang dieksport ke UAE.

“Asia Barat secara keseluruhan merupakan pasaran besar bagi Malaysia, dan tumpuan terarah kepada usaha memperluas kerjasama perniagaan,” katanya. - Bernama