PGA bongkar stor rokok seludup

Suspek dan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau pada Khamis.
Suspek dan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM203,574 menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau di sini pada Khamis.

Pegawai Memerintah Batalion ke-5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, menerusi serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dipercayai terlibat mengedar barangan tidak bercukai terbabit.

“Dalam serbuan ini, PGA berjaya merampas rokok seludup atau lari cukai pelbagai jenama berjumlah 1,031 karton yang bernilai RM203,574.

“Hasil siasatan awal, suspek yang ditahan juga dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rumah yang dipercayai menjadi stor simpanan rokok seludup sebelum diedarkan di sekitar Johor Bahru.
Rumah yang dipercayai menjadi stor simpanan rokok seludup sebelum diedarkan di sekitar Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

Dimin berkata, suspek menjadikan premis tersebut sebagai stor sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Johor Bahru.

Dalam operasi itu, PGA turut bertindak merampas beberapa barangan milik suspek berupa sebuah kereta dan satu telefon bimbit.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.

“Kami percaya tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai disekitar daerah Johor Bahru,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.