X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Muip bantu maahad tahfiz penuhi syarat keselamatan bomba

Dr Asmadi menyerahkan bantuan kepada Pengetua Maahad Tahfiz Darul Izzah, Mohd Fadhil Noor pada siri lawatan ziarah serta penyerahan sumbangan kepada tiga maahad tahfiz di sini pada Khamis. - Foto Facebook Muip
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyalurkan sumbangan lebih RM130,000 bagi membantu 11 pusat tahfiz, pondok dan madrasah persendirian di negeri ini untuk menaik taraf infrastruktur bangunan mengikut syarat keselamatan yang ditetapkan bomba.

Timbalan Ketua Eksekutif ( Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan itu bagi menampung perbelanjaan pihak pengurusan institusi berkenaan yang kini dalam proses untuk mendaftar dengan Muip melengkapkan syarat yang telah ditetapkan.

Menurutnya, rata-rata pusat tahfiz, pondok dan madrasah persendirian itu beroperasi di premis sedia ada yang tidak mengikut syarat keselamatan bomba.

"Sebelum mendaftar operasi mereka dengan Muip, premis terlibat perlu melepasi syarat itu termasuk menaik taraf infrastruktur bangunan sebagai mana ditetapkan.

"Kita faham kekangan kewangan yang dihadapi jadi Muip menghulurkan bantuan kepada institusi yang dikenal pasti bagi membantu melancarkan proses pendaftaran mereka," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Dr Asmadi hadir dalam siri lawatan ziarah serta penyerahan sumbangan kepada tiga maahad tahfiz di sini melibatkan peruntukan sebanyak RM37,000.

Sumbangan diserahkan kepada Pengetua Maahad Tahfiz Aminah Humaira, Rogayah Abu Hasan; Pengetua Maahad Tahfiz Darul Izzah, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim Al-Yamani dan Wakil Pengetua Pusat Pengajian Ubaidillah, Rasli Abdullah.

Dr Asmadi berkata, pengurusan maahad tahfiz, pondok dan madrasah di negeri ini digesa agar mendaftar operasi dengan Muip bagi membolehkan mereka menerima bantuan yang disediakan kerajaan negeri dan pihak Muip.

"Pada masa sama, kita minta pihak pengurusan memastikan premis mereka selamat dan mematuhi segala aspek keselamatan yang ditetapkan," katanya.

Sebelum ini Muip mengumumkan peruntukan RM1.04 juta sebagai bantuan khas fasa 2 kepada institusi maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri ini.

Bantuan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Muip, Tengku Panglima Raja, Lefenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Majlis Liqa’ Mahabbah Bersama Pengetua Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang secara dalam talian pada 13 September lalu.

Daripada jumlah peruntukan itu, RM360,000 berupa bantuan tunai secara 'one off' RM300 kepada 1,200 guru dan kakitangan manakala RM680,000 lagi sebagai bantuan pengurusan dan utiliti kepada institusi tersebut.

Keseluruhan bantuan khas untuk institusi itu bagi fasa 1 dan 2, Muip telah memperuntukkan bantuan berjumlah RM2.06 juta.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!