ADUN Melalap sertai SAR mencari mangsa lemas

Peter (dua dari kiri) memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan usaha mencari seorang lagi mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Padas, Kampung Kalandos, Pangi, Tenom.
Peter (dua dari kiri) memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan usaha mencari seorang lagi mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Padas, Kampung Kalandos, Pangi, Tenom.
A
A
A

TENOM - Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas di Sungai Padas, Kampung Kalandos, Pangi, dekat sini, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.

Peter menerusi video berdurasi 53 saat yang dimuat naik di laman Facebook miliknya memaklumkan bahawa usaha SAR mangsa, Joseph Sayah, 55, diteruskan pada pagi Jumaat.

"Kita berharap dengan usaha pada pagi ini akan mendapat hasil dan mangsa ditemui dengan segera.

"Kita akan bermula di hilir (sungai) dulu kerana saya merasakan bahawa kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke hilir, selepas itu kita akan lihat di kawasan hulu lagi," katanya.

Menerusi video itu, Peter dilihat bersama empat lagi individu lain dan mereka menggunakan jet ski bagi mencari mangsa di sungai berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, SAR yang memasuki hari ketiga itu dimulakan pada jam 9 pagi.

"Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Daerah (BBP) Beaufort sudah digerakkan dari Beaufort menyusuri sungai sehingga ke Pangi, Tenom.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit K9 (anjing pengesan) turut dikerah manakala pasukan kedua dari BBP Tenom dari sungai di Pangi ke arah Beaufort," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, mayat seorang kanak-kanak lelaki, Melvin Junaidi, 12, ditemukan pada jam 4.45 petang Khamis, di Batu 60, Beaufort iaitu kira-kira 33 kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian Rabu lalu, empat penduduk kampung keluar membeli barang di Pekan Tenom dengan menaiki bot dan ketika dalam perjalanan pulang, bot yang dinaiki terbalik sehingga menyebabkan dua mangsa dibawa arus manakala dua lagi sempat menyelamatkan diri.