Peniaga mahu pinjam RM10,000, tapi rugi RM12,930

Seorang peniaga kerugian RM12,930 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di internet. - Foto 123RF
Seorang peniaga kerugian RM12,930 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di internet. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM12,930 selepas terperdaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di internet pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 21 tahun berminat untuk membuat pinjaman selepas melihat iklan pinjaman wang tidak berlesen di internet.

Menurutnya, selepas itu mangsa telah berurusan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Puan Annie selaku wakil syarikat terbabit.

"Selepas mengadakan perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

“Mangsa kemudian menyerahkan maklumat diri kepada suspek bagi membolehkan permohonan pinjaman itu diproses.

"Selepas itu, mangsa diminta untuk membuat beberapa bayaran dengan pelbagai alasan bagi membolehkan pinjaman tersebut diluluskan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, mangsa telah membuat bayaran sebanyak 13 kali ke dalam enam akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek.

“Saya difahamkan sehingga kini mangsa tidak menerima wang pinjaman terbabit dan mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran kerana berasakan dirinya telah ditipu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.