X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Ahmad Mustakim dijel 15 tahun terbabit aktiviti kumpulan Al-Shabaab

Ahmad Mustakim dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tentera Somalia kerana terbabit dengan aktiviti kumpulan Al-Shabaab. (Gambar hiasan)
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia, Ahmad Mustakim Abdul Hamid dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tentera Somalia kerana terbabit dengan aktiviti kumpulan Al-Shabaab.

Atase Akhbar Kedutaan Somalia di Malaysia Abdimajit M Osman ketika dihubungi Bernama berkata, hukuman itu dibaca oleh Ketua Mahkamah Angkatan Tentera, Kolonel Hassan Ali Nur Shuuto.

"Namun, di bawah sistem kehakiman Somalia, Ahmad Mustakim berpeluang untuk buat rayuan," jelas Abdimajit.

Semalam Bernama melaporkan perbicaraan Ahmad Mustakim bermula pada 2019 dan dia dilayan dengan baik serta mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang Somalia.

Ahmad Mustakim dipercayai masuk ke Somalia sekitar 2009 atau 2010.

"Somalia sudah sekian lama dihimpit penderitaan kerana warga asing yang menyokong Al-Shabaab. Kerajaan kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang menjejakkan kaki ke Somalia untuk menyokong kegiatan keganasan.

"Bagaimanapun, Somalia tetap mengalu-alukan rakyat Malaysia yang selalu memberikan bantuan. Somalia dan Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang erat. Kerajaan Somalia sentiasa berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara," katanya.

Abdimajit berkata, Ahmad Mustakim, 34, rakyat Malaysia pertama yang didakwa membantu Al-Shabaab di Somalia.

Sementara itu, Agensi Berita Somali (SONNA) melaporkan mahkamah itu turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang lagi warga asing yang ditahan bersama dengan Ahmad Mustakim.

"Ahmad Mustakim membantu kumpulan itu dengan memberikan pertolongan cemas dan mengambil bahagian dalam pertempuran di Mogadishu dan Dhusamareb," kata agensi itu berdasarkan transkrip terjemahan oleh Kedutaan Somalia di Malaysia.

Pada Sabtu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Kementerian Luar memantau rapat penahanan dan proses perundangan yang dikenakan terhadap Ahmad Mustakim.

Saifuddin berkata, pegawai Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim sentiasa terjaga.

"Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepada beliau (Ahmad Mustakim) dengan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.

"Kita mesti menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak,” katanya.

Al-Shabaab, sekutu paling kuat al-Qaeda, terkenal dengan serangan berprofil tinggi seperti serangan 2013 terhadap Westgate Mall di Nairobi, Kenya selain terbabit dengan pembunuhan ahli politik dan pegawai tentera Somalia.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Mustakim dibicara dengan adil di Somalia

Ahmad Mustakim ditahan di Somalia, disyaki terlibat kumpulan Al-Shabaab


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!