Peluang kembali cari rezeki

Nurmazlifah sedang menyediakan barangan jualan di kedai makan miliknya.
Nurmazlifah sedang menyediakan barangan jualan di kedai makan miliknya.
A
A
A

TEMERLOH - Peralihan Pahang ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat merupakan khabar gembira dan kelegaan yang telah sekian lama dinantikan oleh rakyat di negeri ini.

Bagi pengusaha kafe di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, Siti Azraf Abdul Rahim, 39, dia dan pekerjanya amat bersyukur dengan pengumuman peralihan tersebut.

Siti Azraf Abdul Rahim
Siti Azraf Abdul Rahim

Menurutnya, perkara itu merupakan satu kesempatan buat mereka untuk kembali mencari rezeki walaupun mengakui jumlah pendapatannya tidak sebanyak sebelum pandemik.

"Selain di kafe, saya turut mengusahakan kantin sekolah di Bentong, namun jumlah kehadiran pelajar tidak seperti dulu dan pendapatan pun tidak seberapa.

"Jadi apa-apa pun prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi tidak boleh diambil mudah bagi mengelakkan penularan Covid-19 terus merebak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pengusaha kedai makan di bandar Temerloh, Normazlifah Abd Malik, 42, pula berharap Fasa 3 akan memberikan penambahbaikan ekonomi kepada mereka yang sebelum ini amat terjejas akibat pandemik tersebut.

"Saya juga harap tiada sekatan atau syarat terlalu ketat dikenakan terhadap kami kerana sudah terlalu letih dengan situasi yang perlu diharungi selama ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pesara guru, Salehuddin Mat Rasad, 62, pula berkata, walaupun gembira Pahang sudah beralih Fasa 3, namun dia turut melahirkan kegusaran kerana masih terdapat individu yang dilihat mengambil mudah terhadap SOP.

"Sememangnya saya gembira dengan pengumuman ini tapi saya lihat masih ramai yang ambil mudah dengan SOP seperti di kedai makan ataupun restoran terutamanya membabitkan penjarakan fizikal.

"Jadi saya harap orang ramai tidak ambil mudah dan tolong patuhi SOP yang ditetapkan," tegasnya.

Kegusaran sama turut diluahkan seorang pekerja swasta, P Ramamorthy, 63, apabila melihat masih ada segelintir individu yang mengambil mudah terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan.

P Ramamorthy
P Ramamorthy

"Dalam kita berseronok dan bergembira dengan pengumuman ini tetapi kita tidak boleh lupa untuk mematuhi SOP ditetapkan selain perlu berhati-hati ketika berada di luar rumah kerana Covid-19 boleh menjangkiti kita bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail berharap peralihan Fasa 3 itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang ramai tanpa mengabaikan sebarang peraturan yang ditetapkan kerajaan.

"Virus ini berada di mana-mana dengan selepas ini kita berada dalam suasana endemik, tiada lagi ujian saringan harian dibuat dan lain-lain.

"Jadi kita wajib ubah strategi hidup dengan terus memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, tidak berkumpul di luar terlalu lama dan kerap cuci tangan selain berdoa kepada ALLAH SWT," katanya.