Speedy Tigers lulus ujian awal di London

Mirnawan (dua dari kanan) memberi arahan kepada barisan pemain negara ketika sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil minggu lalu sebelum mereka berlepas ke London.
Mirnawan (dua dari kanan) memberi arahan kepada barisan pemain negara ketika sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil minggu lalu sebelum mereka berlepas ke London.
A
A
A

THE Speedy Tigers memulakan Siri Jelajah United Kingdom (UK) dengan perkhabaran gembira apabila skuad kendalian Arul Selvaraj itu bebas daripada wabak Covid-19.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, keputusan itu secara tidak langsung meningkatkan motivasi dalam kalangan pemain untuk mengharungi siri jelajah tersebut pada tahap terbaik.

“Kami sampai di kota London ini pada 19 September lalu dan kini tinggal di Pusat Sukan Nasional Bisham Abbey bagi menjalani sesi kuarantin selama lima hari.

“Pada hari kedua, kami semua telah menjalani ujian calitan dan alhamdulillah semua pemain dan pegawai Speedy Tigers mendapat keputusan negatif.

“Pihak pengurusan Bisham Abbey membenarkan skuad negara untuk turun menjalani sesi latihan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya dipetik daripada klip video di laman Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Khamis.

Pada masa sama, Mirnawan memaklumkan, barisan pemain Speedy Tigers yang menyertai siri jelajah itu mula membiasakan diri masing-masing dengan suasana dan persekitaran di London.

“Pemain-pemain juga sudah dapat mengadaptasi dengan perbezaan masa antara Malaysia dan England selain membiasakan diri dengan suasana dan keadaan sekeliling.

“Pasukan negara akan berlatih di Bisham Abbey sehinggalah melalui empat perlawanan menentang kelab di England sebelum berlepas ke Belfast untuk dua test match menentang Ireland diikuti dua perlawanan dengan Wales dan Perancis,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Siri Jelajah UK merupakan antara siri persediaan Speedy Tigers dalam mengharungi Piala Asia 2022 yang juga aksi Kelayakan Hoki Piala Dunia 2023.