Harimau Malaya tak gentar

Skuad Harimau Malaya tidak akan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri pada kempen Piala Suzuki AFF 2020.
Skuad Harimau Malaya tidak akan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri pada kempen Piala Suzuki AFF 2020.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya bersedia untuk mengharungi saingan Piala Suzuki AFF 2020 tanpa sorakan padu 'pemain ke-12' di gelanggang keramat - Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau percaya para pemainnya tetap mampu memberikan aksi terbaik walaupun tidak akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Edisi kali ini berbeza dengan 2018 dan saya yakin pemain akan bersedia sebaik mungkin kerana tidak dapat bermain di laman sendiri dan tiada sokongan daripada penyokong.

“Kami perlu menghadapi situasi (tidak bermain di laman sendiri) dan memahami kerana masalah pandemik Covid-19. Sebelum ini, kami juga ada pengalaman bermain di venue berpusat di Dubai pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Apa yang penting adalah aksi terbaik dapat ditonjolkan oleh para pemain untuk pasukan negara mendapat keputusan yang positif dalam kejohanan itu nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Kemboja dan Laos pada Piala Suzuki AFF 2020 yang akan diadakan di venue berpusat - berbeza dengan format pertandingan sebelum ini.

Juara lima kali, Thailand pula mengetuai Kumpulan A yang turut dihuni Myanmar, Filipina, Singapura dan pemenang aksi kelayakan antara Brunei atau Timor Leste.

Bagaimanapun, AFF masih belum mengumumkan venue rasmi kejohanan dwitahuman itu dengan keputusannya hanya akan diketahui pada penghujung bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga mengesahkan tidak berhasrat menghantar permohonan untuk menjadi tuan rumah bagi kejohanan kali ini.

Bagi Cheng Hoe, beliau mengakui tidak kisah negara mana yang akan menjadi tuan rumah biarpun Singapura, Thailand dan Kemboja disebut-sebut pilihan utama sebagai hos.

“Kalau dah diputuskan kita tiada pilihan. Sama ada bermain di mana-mana negara, kami perlu bersedia, tidak boleh bagi alasan dan menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.

“Kami barisan jurulatih dan pemain kena fikir positif dan apa jua yang berlaku bukan halangan untuk kami cuba mencipta impak positif dalam kejohanan kali ini,” ujarnya.