Peruntukan Khas PM sama rata untuk semua ahli Parlimen mulai September

Mastura Mohd Yazid
Mastura Mohd Yazid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan akan diberi nilai peruntukan yang sama di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri bagi tempoh empat bulan terakhir tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan transformasi Parlimen.

Semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis, Mastura berkata, Peruntukan Khas Perdana Menteri untuk kawasan Parlimen sebenarnya hanya sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Penyediaan Peruntukan Kawasan Parlimen kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan nilai yang berbeza sebelum ini adalah mengikut dasar sedia ada yang terdahulu dan ia juga bergantung kepada kemampuan dan kedudukan semasa kewangan kerajaan, katanya.

Semasa sesi perbahasan, beberapa ahli Parlimen termasuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) mencadangkan peruntukan perlu disalurkan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen.

Mengulas mengenai Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19, Mastura berkata, sehingga 17 September lepas, seramai 4,274 waris telah menerima bantuan RM5,000 itu dengan jumlah keseluruhan bantuan RM21.37 juta.

Beliau berkata, daripada 6,248 permohonan yang diterima, 12 permohonan didapati tidak layak atau ditolak kerana bukan kematian Covid-19 manakala baki 1,962 sedang diproses termasuk verifikasi status warganegara dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan semakan data kematian Covid-19 oleh pemohon dengan data kematian Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) sentiasa menambah baik proses berkaitan bagi memastikan permohonan yang layak akan menerima bantuan dalam tempoh 30 hari bekerja melalui akses sistem myID JPN dan akses portal data kematian Covid-19 KKM Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

“Terkini, proses kelulusan dipercepatkan lagi dengan hanya mengambil kira dokumen yang dikemukakan oleh pihak hospital yang mengesahkan kematian akibat Covid-19 dan sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),’’ katanya. - Bernama