Pembangunan seimbang merentasi wilayah, negeri menerusi RMK-12

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan merentasi wilayah dan negeri di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan menumpukan usaha mengurangkan kesenjangan pembangunan antara wilayah supaya masyarakat dapat menikmati pembangunan secara saksama.

Beliau berkata, ini berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama dan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Melalui RMK-12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan (27 September), kerajaan akan melaksanakan strategi pembangunan yang komprehensif bagi merancakkan pembangunan sosioekonomi di negeri-negeri kurang membangun.

“Malah RMK-12 mempunyai bab khusus mengenai pembangunan Sabah dan Sarawak bagi memperincikan strategi, merancakkan ekonomi di negeri kurang maju,” katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Mustapa berkata, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas, Lembah Klang menyumbang sebanyak 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional, iaitu 15.7 peratus lebih tinggi daripada kadar sumbangan enam negeri yang kurang membangun iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Ini memberi dimensi betapa seriusnya masalah ini (ketidakseimbangan pembangunan),” katanya.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi di enam negeri termiskin akan terus diberi perhatian oleh kerajaan bagi menangani jurang pendapatan antara wilayah dan negeri serta bandar dan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan turut komited untuk membasmi kemiskinan, iaitu antara agenda utama pembangunan negara, katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan mempergiatkan usaha menangani kemiskinan menerusi pendekatan keseluruhan negara antaranya menyediakan program peningkatan pendapatan dan keupayaan di bandar dan luar bandar serta menggalakkan keusahawan dan akses kepada pembiayaan kewangan.

“Kerajaan juga akan memudah cara akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan, meningkatkan kualiti hidup miskin bandar terutama di Program Perumahan Rakyat (PPR) di samping melaksanakan program daripada peringkat akar umbi berasaskan komuniti,” katanya.

Mustapa berkata, untuk menambah baik penyampaian bantuan golongan sasar, sistem eKasih akan diperkukuh bagi mengenal pasti, melaksanakan dan memantau program pembasmian kemiskinan selain meningkatkan ketelusan dan ketepatan data.

Dasar berasaskan bukti akan memudah cara proses mengenal pasti kumpulan sasar dan membangunkan profil isi rumah miskin supaya setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna dan bermakna, katanya.

“Selain itu, pangkalan data berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial akan disepadukan melalui pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS).

“PDPS ini dijangka disiapkan dalam tempoh sehingga dua bulan,” katanya.

PDPS merupakan pangkalan data penerima bantuan yang lebih bersepadu, merentasi kementerian dan agensi untuk membantu kerajaan dalam menggubal dasar strategik dan meningkatkan keberkesanan serta penyampaian program sosial yang dirancang. - Bernama