Isu rehatkan Azam Baki akan dibawa kepada Perdana Menteri

Azam Baki -Foto Bernama
Azam Baki -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Isu merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk merehatkan mana-mana pihak.

“Saya tidak ada kuasa untuk merehatkan sesiapa. Tetapi saya akan membawa perkara ini kepada Perdana Menteri bagaimana kita boleh fikirkan secara adil kepada semua pihak bukan sahaja kepada SPRM, Yang Berhormat dan juga Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Wan Junaidi sebelum itu menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang mencadangkan agar merehatkan Azam sementara menunggu siasatan melibatkan kes tiga pegawai SPRM yang direman atas dakwaan salah guna kuasa.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanyakan mengapa SPRM tidak membuat laporan polis terhadap kehilangan barang kes yang berada dalam simpanan.

Wan Junaidi berkata, laporan polis tidak dibuat kerana yang mempunyai fail lengkap mengenai kehilangan barang itu adalah SPRM.

“Maklumat yang ada di tangan SPRM. Jadi, kalau dibuat laporan polis, polis mampu atau tidak menyelidik semula semua maklumat-maklumat yang ada pada SPRM.

Artikel Berkaitan:

“Maknanya, agensi yang lebih baik dan mempunyai maklumat terperinci adalah SPRM itu sendiri. Dalam keadaan sedemikian tiga orang itu dapat ditangkap dan terus dibawa ke mahkamah untuk direman,” jelasnya.

Beliau berkata, bukti yang ada itu juga perlu diselidiki satu persatu dan kemudian diserahkan kepada Peguam Negara.

“Tujuan asal sebenarnya ialah untuk orang salah dibawa ke mahkamah cukup dengan bukti, itu sahaja,” ujarnya.