X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Jang tetap padu tanpa bintang

Pemain-pemain Negeri Sembilan meraikan kejayaan menjuarai Liga Premier selepas menewaskan PDRM FC di Paroi. -Foto: Negeri Sembilan Football Club
A
A

KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan mengakui bangga apabila skuad kendaliannya walaupun tanpa dibarisi pemain berstatus bintang mampu memberikan saingan pada tahap terbaik untuk menjuarai saingan Liga Premier musim ini.

Menurut Devan, semangat sepasukan dibarisi pemain berpengalaman seperti Zaquan Adha Radzak selaku kapten, serta pemain senior lain mendorong skuad Hobin Jang Hobin tampil konsisten setiap aksi musim ini untuk mengecapi kejayaan dinanti-nantikan sejak sekian lama.

"Saya rasa kejayaan ini tidak boleh dicapai tanpa pemain seperti Annas Rahmat, Nasrullah Haniff Johan dan juga Saiful Ridzuwan Selamat...pemain-pemain senior yang bermain dalam pasukan ini mempunyai karakter baik dan membimbing pemain muda walaupun hanya Mohamad Zaquan sahaja bintang kita," katanya.

Devan berkata, pencapaian merangkul kejuaraan itu lebih manis lagi apabila disumbangkan oleh pemain yang kebanyakannya adalah anak kelahiran Negeri Sembilan sendiri.

Katanya, tumpuan selepas ini adalah menyiapkan pasukan bersaing dalam saingan Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 25 September ini.

Sementara itu, Mohamad Zaquan Adha menyifatkan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Premier bukan penamat tapi kesemua pemain seharusnya mengambil kejayaan ini sebagai dorongan memastikan kelab terus konsisten di persada liga tempatan bagi satu tempoh lama.

Negeri Sembilan menamatkan kemarau panjang tanpa trofi apabila mengesahkan kejuaraan Liga Premier selepas menewaskan PDRM FC 4-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Ia adalah kejuaraan pertama diraih skuad Hobin Jang Hobin selepas memenangi Piala Malaysia musim 2011 diikuti Piala Sumbangsih pada 2012, selain ia juga trofi kejuaraan liga kedua pasukan selepas mengungguli saingan sulung Liga Super 2006.

Negeri Sembilan menamatkan saingan liga musim ini dengan mengumpul 41 mata hasil 12 kemenangan, lima seri dan tewas tiga kali sepanjang 20 perlawanan Liga Premier.

Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan yang berhasil meraih kemenangan sekali gus melayakkan pasukan ke Piala Malaysia nanti dan Liga Super musim depan.

Beliau berkata, penyokong negeri ini digalakkan hadir menyaksikan perlawanan Negeri Sembilan di stadium setelah negeri ini beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi namun diingatkan terus patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!