PICK Remaja: Ibu bapa lega, ikhtiar anak-anak selamat ke sekolah

Para remaja bersama ibu bapa masing-masing beratur di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Spice di Bayan Baru di sini hari ini. - Foto Bernama
Para remaja bersama ibu bapa masing-masing beratur di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Spice di Bayan Baru di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Rata-rata ibu bapa kepada remaja yang akan memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bulan depan ketika ditemui di sini menarik nafas lega selepas anak-anak mereka menerima vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Tinjauan mendapati ada ibu bapa yang sanggup menunggu lebih sejam bagi mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil vaksin secara jumpa terus sebaik sahaja pendaftaran dibuka di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Spice di Bayan Baru, dekat sini.

Mohd Anas Mohd Radzi, 41, yang membawa anaknya Mohd Afif Ikhwan,17, untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menyambut baik inisiatif kerajaan itu kerana anak-anak akan berasa lebih selamat untuk bersekolah.

"Sehingga semalam (Rabu), saya dan anak buat semakan dalam MySejahtera tetapi masih belum dapat janji temu untuk suntikan vaksin, jadi saya datang terus ke PPV Pusat Konvensyen Spice hari ini secara 'walk-in',” katanya.

Mohd Afif Ikhwan berkata, beliau berasa selamat selepas disuntik vaksin Covid-19 dan teruja serta tidak sabar untuk kembali ke sekolah kerana telah lama mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Tidak lama lagi kami akan hadapi peperiksaan SPM jadi digalakkan untuk suntik vaksin. Alhamdulillah tak sakit lepas kena suntik," katanya.

Pauline Teh, 50, yang membawa anaknya, Ashley Chin, 15, untuk mendapatkan vaksin secara jumpa terus hari ini juga mahu anaknya kembali ke sekolah dalam keadaan selamat.

Artikel Berkaitan:

Pauline Teh, 50, menunjukkan kesan suntikan vaksin yang diterima oleh anaknya Ashley Chin, 15, di PPV Pusat Konvensyen Spice di Bayan Baru di sini hari ini. Foto Bernama
Pauline Teh, 50, menunjukkan kesan suntikan vaksin yang diterima oleh anaknya Ashley Chin, 15, di PPV Pusat Konvensyen Spice di Bayan Baru di sini hari ini. Foto Bernama

"Saya memang mahu anak mengambil vaksin kerana dalam rumah kami hanya beliau seorang belum terima suntikan, malah ibu saya yang berusia 82 tahun juga telah divaksin, tiada sebarang kesan sampingan malah kami rasa lebih selamat," katanya yang turut berterima kasih kepada petugas di PPV yang memudahkan urusan pemberian vaksin.

Sementara itu, pengurus PPV Pusat Konvensyen Spice, Dr Norhasimah Ismail berkata, sebanyak 500 dos vaksin disediakan setiap hari bermula Khamis kepada pelajar sekolah menerusi PICK Remaja di PPV berkenaan.

Di Pulau Pinang, pemberian vaksin melibatkan pelajar asrama berusia 16 hingga 17 tahun bermula semalam manakala sesi vaksinasi membabitkan pelajar berusia 16 hingga 17 tahun tanpa komorbid pula bermula Khamis di enam PPV iaitu di Pusat Konvensyen Spice, Tapak Ekspo Seberang Jaya, Hotel Vangohh Eminent, Dewan Perda Convention Centre; Dewan Millenium dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap. - Bernama