'Beri bonus kepada penjawat awam, bukan bantuan RM500'

Adnan (tiga dari kanan) ketika hadir ke Program Sahsiah Murni Sempena Sambutan Kemerdekaan, Penubuhan Hari Malaysia dan Ulang Tahun AUEGCAS di Anjung AUEGCAS Perak, di Ipoh pada Khamis.
Adnan (tiga dari kanan) ketika hadir ke Program Sahsiah Murni Sempena Sambutan Kemerdekaan, Penubuhan Hari Malaysia dan Ulang Tahun AUEGCAS di Anjung AUEGCAS Perak, di Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2022 yang akan diumumkan nanti.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pemberian bonus itu sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan mereka yang bertungkus lumus ketika pandemik Covid-19.

Menurutnya, pemberian itu juga amat wajar diberikan kerana lebih 10 tahun penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM500 pada setiap kali pembentangan belanjawan.

"Kami juga perlukan penghargaan daripada kerajaan kerana telah memberikan perkhidmatan walaupun kerajaan berubah tiga kali dengan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

"Justeru, sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam, kami menuntut agar kerajaan juga memberikan pertimbangan yang luar biasa pada kali ini supaya memberi bonus dan bukan lagi bantuan khas kewangan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Sahsiah Murni Sempena Sambutan Kemerdekaan, Penubuhan Hari Malaysia dan Ulang Tahun AUEGCAS di Anjung AUEGCAS Perak di sini pada Khamis.

Adnan berkata, dalam masa sama, menjadi amalan setiap 10 tahun sejak tahun 1992, kerajaan memperkenalkan sistem baharu dalam perkhidmatan awam dan pada tahun 2022 ia perlu dilaksanakan sekali lagi.

Menurutnya, berikutan itu, kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah wang dalam belanjawan kali ini bagi melaksanakan sebuah sistem saraan baharu kepada perkhidmatan awam yang lebih komprehensif dengan memberikan gaji lebih selesa dan perbelanjaan yang adil kepada penjawat awam.

Sementara itu, beliau turut meminta pertimbangan kerajaan berkaitan cuti kakitangan kerajaan yang tidak dapat dihabiskan kerana terpaksa bertugas menguruskan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, pihaknya mengesyorkan agar cuti yang tidak dihabiskan tidak dilupuskan selepas tiga tahun malah hendaklah melangkaui lebih lima tahun sehingga penjawat awam itu mampu mengambil cuti.

Menurutnya, selain itu cuti berkenaan juga diharap boleh dibayar secara token dengan mengambil contoh Singapura yang membayar cuti penjawat awam bagi tempoh yang tidak boleh dihabiskan.

Beliau berkata, Cuepacs juga memohon kerajaan supaya cuti boleh ditambah dalam gantian cuti rehat melebihi aturan biasa iaitu 15 hari.

"Kami telah berjumpa dengan petugas dan antara permohonan mereka untuk Cuepacs suarakan kepada kerajaan ialah mengenai cuti-cuti yang tidak dapat dihabiskan.

"Cuti tahunan telah dibekukan atau telah diarah untuk tidak diambil atau tidak dibenarkan mengambil cuti, malah diarah bertugas sepanjang masa, malah ada yang bekerja sehingga tujuh hari seminggu.

"Ini adalah sesuatu yang luar biasa oleh kerana pandemik ini sesuatu yang luar biasa, maka kami mohon kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan pada kadar luar biasa kepada anggota yang berkhidmat di barisan hadapan dan barisan paling belakang berkaitan cuti ini," katanya.

Dalam pada itu, Adnan menggesa kerajaan melaksanakan segala pengumuman yang dibuat oleh kerajaan sejak tahun 2018 kepada penjawat awam antaranya pemberian KGT pada seluruh penjawat awam dan juga KUP kali kedua iaitu dari 13 tahun kepada 10 tahun dan mewujudkan Gred DG56.

Katanya, begitu juga pengumuman kerajaan pada Bajet 2020 tahun lalu iaitu gantian cuti rehat boleh ditebus dengan wang tunai sebanyak 75 hari yang masih belum dilaksanakan.