Syukur lebih ramai jemaah boleh solat Jumaat

Masjid Kampung Assam Jawa. Gambar kecil : Tarmizi Abd Ghapar dan Mohd Nasil Rais
Masjid Kampung Assam Jawa. Gambar kecil : Tarmizi Abd Ghapar dan Mohd Nasil Rais
A
A
A

KUALA SELANGOR - Rata-rata jemaah di negeri ini bersyukur apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat sepanjang Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Seorang jemaah, Tarmizi Abd Ghapar, 56, dari Taman Melawati Jaya di sini berkata, kebenaran itu tentunya menjadi berita gembira yang ditunggu penduduk berikutan bilangan yang terhad untuk menunaikan solat Jumaat sejak Fasa 1 PPN pada 1 Jun lalu.

"Hampir tiga bulan lamanya kita terpaksa menunggu berita gembira ini dan ini sudah tentu mengujakan kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa menunggu giliran untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Assam Jawa.

"Kami di masjid kariah menggunakan sistem giliran yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk menunaikan solat Jumaat.

"Dengan pengumuman ini, saya merasakan peluang untuk kita kembali ke rumah ALLAH dan menunaikan solat Jumaat lebih mudah," katanya.

Seorang lagi jemaah di Masjid Kampung Kuantan, Mohd Nasil Rais, 47 berkata, kebenaran lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat sudah lama dinantikan penduduk di kariah berkenaan.

"Alhamdulillah peluang ini akan digunakan dengan sebaiknya dan saya berharap dengan bilangan jemaah yang ramai ini kita dapat bersama-sama berdoa agar Covid-19 terus lenyap buat selamanya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penambahan had bilangan jemaah juga memudahkan lebih ramai lagi umat Islam menunaikan solat Jumaat.

"Sebelum ini saya menggunakan aplikasi MasjidPro dan kalau cepat mendaftar maka dapatlah berjemaah tetapi kalau lewat terpaksalah cuba pada minggu berikutnya," katanya.

Bagi jemaah di Masjid Kampung Simpang Lima Sungai Besar, Saiful Daniel Saiful Lizan, 17 berkata, pemakluman JAIS itu merupakan khabar gembira yang amat dinantikan penduduk selama ini.

Katanya, dia sebelum ini pernah beberapa kali ke masjid tetapi tidak dapat menunaikan solat Jumaat berikutan kapasiti jemaah sudah penuh.

"Saya berharap selepas ini kapasiti jemaah akan terus meningkat selain berharap jemaah dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," jelasnya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Selangor membenarkan seramai 1,000 jemaah bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) sepanjang Fasa 2 PPN.

Selain itu, bagi masjid-masjid lain pula, seramai 500 jemaah ditetapkan bagi menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.