X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Tunggakan cukai KFA meningkat RM10 juta

Mohd Firdaus Ahmad
A
A

ALOR SETAR - Tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) meningkat kepada RM10 juta.

Exco Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad mendedahkan jumlah itu diperoleh selepas LHDN membuat semakan semula dokumen berkaitan penggajian 2014 sehingga 2019, Mac lepas.

Menurutnya, tunggakan tersebut meliputi Potongan Caruman Berjadual (PCB) pemain import yang terdahulu.

“Semakan mendapati KFA mempunyai tunggakan cukai PCB/CP38 yang telah meningkat kepada RM10 juta,” katanya pada sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Mohd Firdaus yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata, sebelum ini KFA mempunyai tunggakan PCB/CP38 melebihi RM3.4 juta, tidak termasuk kompaun yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, perkara itu diketahui apabila KFA mahu membuat permohonan lesen baharu pemain bagi musim depan.

“Bila nak dapatkan lesen baharu pemain untuk musim depan, kita diminta kemukakan dokumen pelesenan yang diperlukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tetapi dikejutkan dengan tuntutan baharu LHDN berjumlah RM10.4 juta, iaitu cukai pendapatan pemain yang tidak dijelaskan,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas sidang DUN ditangguhkan.

Menurutnya, ketika mengambil alih jawatan Presiden KFA Julai tahun lepas, persatuan itu mempunyai tunggakan gaji pemain serta cukai dengan LHDN dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ketika itu kerajaan negeri dapat melunaskan RM15 juta untuk tunggakan dan gaji semasa pemain, tunggakan di KWSP dan LHDN dijadualkan semula bayaran,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, sekiranya KFA gagal menjelaskan tunggakan tersebut ia akan memberi kesan kepada proses pelesenan, kerana kelulusan perlu mendapatkan pelepasan daripada LHDN.

“KFA beroperasi berasaskan tanggungjawab sosial penaja dan bukan buat keuntungan, kerana KFA bukan badan perniagaan yang jana keuntungan.

“Semua ini tunggakan lama, saya sudah berunding dengan LHDN untuk mohon hapus kira tunggakan atas sebab kegagalan mereka pada masa lalu mengutip tunggakan pada ketika itu, sekarang KFA bagi kerjasama baik baru nak kutip, mana boleh,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!