Kolam mandi Ulu Bendul ditutup kerana kes Covid-19, kencing tikus

Penutupan itu dilakukan susulan laporan berlakunya penularan wabak Covid-19, rotavirus dan leptospirosis atau kencing tikus di lokasi. Foto: Sumber Internet
Penutupan itu dilakukan susulan laporan berlakunya penularan wabak Covid-19, rotavirus dan leptospirosis atau kencing tikus di lokasi. Foto: Sumber Internet
A
A
A

KUALA PILAH - Kolam mandi Ulu Bendul di bawah Pentadbiran Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) ditutup sementara berkuatkuasa Jumaat sehingga Ahad ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dilakukan.

Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, penutupan itu dilakukan susulan laporan berlakunya penularan wabak Covid-19, rotavirus dan leptospirosis atau kencing tikus di lokasi.

"Kawasan tersebut ditutup sementara selepas disyorkan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan supaya pihak berkenaan dapat melakukan siasatan dan analisa kes," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan terdapat 13 kes jangkitan virus yang melibatkan pengunjung ke kawasan rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul, masing-masing mempunyai sejarah pergerakan ke lokasi berkenaan pada minggu lalu.

Daripada jumlah tersebut, dua kes membabitkan wabak Covid-19, dua lagi leptospirosis dan satu kes rotavirus, manakala selebihnya sedang menunggu keputusan ujian selepas mengalami gejala demam, cirit-birit, muntah, sakit badan dan lain-lain.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, terdapat dua kes leptospirosis dan satu kes rotavirus telah dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban di sini.

"Kes-kes ini masih dalam siasatan dan menunggu keputusan ujian pengesahan leptospirosis.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah telah melakukan penilaian risiko dan mengambil sampel persekitaran di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Harlina berkata, tindakan susulan akan diambil selepas mendapat keputusan ujian pengesahan, penilaian risiko dan sampel persekitaran.

"Jika mempunyai gejala dan sejarah perjalanan ke Ulu Bendul, boleh dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan.

"Justeru, orang awam diingatkan untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, mengelakkan tempat yang sesak, mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan elakkan mengunjungi kawasan awam jika bergejala," katanya.