X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Lebih 97,000 pekerjaan baharu diwujudkan

Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76 peratus daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun ini.

Beliau berkata, seramai 376,000 pencari kerja juga berjaya mendapatkan pekerjaan melalui 27 inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 10 September lalu.

“Kejayaan tersebut melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September ini.

“Ia menunjukkan hasrat kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata lagi, kerajaan akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional (NJCSP) yang disokong lima specialised taskforce di bawah NEC bagi memperkasakan tenaga kerja Malaysia agar lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan tersohor di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, penciptaan pekerjaan itu akan dipertingkatkan melalui enam teras utama yang akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam ‘game changer’ termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan ('artificial intelligence').

Katanya, ia bertujuan untuk pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran serta kualiti graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri dan memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa.

“Selain itu, memanfaatkan ekonomi gig untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden,” ujarnya.

Jelas beliaue, NJCSP turut mencadangkan pewujudan sebuah platform khusus bagi penyelarasan maklumat semua institusi TVET di Malaysia serta program-program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.

"Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya kursus yang ditawarkan berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan keperluan ekonomi setempat

“Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, kerajaan sediakan bantuan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang boleh dituntut daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Bagi yang masih mencari pekerjaan pula, mereka boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, kerajaan yakin strategi NEC termasuk pelaksanaan NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi dan meningkatkan penciptaan pekerjaan sekali gus menangani isu-isu seperti kekurangan pekerja dalam sektor yang tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!