Mukhriz sedia beri kerjasama bantu siasatan

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI).

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, beliau tetap berpendirian tegas menafikan dakwaan berkenaan yang dinyatakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, dakwaan terbabit juga tidak jelas dan Muhammad Sanusi seakan-akan mengelak daripada menjawab isu terbabit ketika diajukan wartawan dalam sidang akhbar pada Khamis.

"Dalam sidang akhbar tadi (Khamis) pun, Muhammad Sanusi cuba alihkan dari jawab isu Kanada. Kalau dia sebut Barclays Bank senang saja kita boleh Google.

"Tetapi bila kita Google tidak ada Barclays Bank di Kanada. Jadi saya tidak pasti apa yang dimaksudkan beliau," katanya ketika sidang akhbar secara maya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Mukhriz berkata, beliau akan berbincang dengan penasihat undang- undang untuk mendapatkan suatu keputusan mengenai tindakan selanjutnya.

"Sudah tentu saya tidak akan biarkan kerana kenyataan Muhammad Sanusi boleh menjejaskan reputasi saya dan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis berhubung pemindahan wang itu yang didakwa dilakukan ketika Kedah ditadbir Mukhriz selaku Pengerusi MBI.

Artikel Berkaitan: