JKKN Johor bincang SOP pembukaan sempadan

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor sentiasa komited dan memandang serius isu semasa berkenaan keadaan rakyat negeri ini yang kini berada di luar negara khususnya pekerja di Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, terbaharu pihaknya kini telah bersetuju untuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan di pintu-pintu masuk negara di negeri ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor hari ini (23 September) juga bersetuju untuk mengangkat cadangan SOP pembukaan sempadan iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA) kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersedia menghubungi rakan sejawatan beliau di Singapura untuk membantu mendapatkan data rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin di negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah ketika ucapan penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis memaklumkan Malaysia akan mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membenarkan pergerakan rentas sempadan secara harian dikenali sebagai DCA.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, keutamaan rundingan pembukaan sempadan secara beransur-ansur ini tetap bergantung kepada kesihatan semasa termasuk situasi penularan Covid-19 di kedua-dua negara pada ketika ini masih belum reda.

Sementara itu, Mohd Hasni berkata, bagi memastikan usaha itu dilengkapkan dengan langkah kawalan yang efisien, peratusan pengambilan vaksin bagi rakyat termasuk yang bekerja di negara republik itu pastinya perkara yang akan terus diberi keutamaan.

“Kerajaan negeri berusaha memperkukuhkan lagi peratusan vaksinasi di negeri ini dengan cuba mendapatkan data pekerja Johor yang telah menerima suntikan vaksin di Singapura supaya dapat segera dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

“Bagi rakyat Johor yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, segeralah berbuat demikian supaya lebih cepat menerimanya,” katanya.

Johor sehingga kini telah merekodkan kadar vaksinasi pada tahap 73.3 peratus dengan seramai 1,988,503 warga dewasa sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.