Cadang perkenal bantuan bulanan manfaat kanak-kanak RM100, RM150

Nor Mohamed ketika majlis pelancaran laporan KRI bertajuk 'Menongkah Badai: Ke arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia' yang diadakan secara maya pada Khamis.
Nor Mohamed ketika majlis pelancaran laporan KRI bertajuk 'Menongkah Badai: Ke arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia' yang diadakan secara maya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan supaya memperkenalkan bantuan bulanan manfaat kanak-kanak sejagat berjumlah RM100 dan RM150 sebagai sebahagian daripada sistem perlindungan sosial negara.

Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporannya berkata, langkah tersebut merupakan antara pertimbangan dasar dicadangkan kepada kerajaan dalam pelaksanaan perlindungan sosial yang menggunakan model pendekatan kitaran hidup.

Katanya, sebagai perintis, sebanyak 72.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak di Malaysia atau 6.7 juta kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun dijangka akan menerima manfaat tersebut

Badan kajian dasar itu menyatakan bahawa bantuan bulanan RM100 setiap kanak-kanak tersebut akan membabitkan pelaburan berjumlah kira-kira RM8 bilion atau 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala bantuan sebanyak RM150 melibatkan kira-kira RM12 bilion atau 0.74 peratus daripada KDNK negara.

Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, cadangan itu telah pun dimaklumkan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi perbincangan fokus antara kementerian tersebut bersama agensi kerajaan.

“Kami berharap berharap cadangan ini dimasukkan dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan bulan depan," katanya ketika sidang akhbar pelancaran laporan KRI bertajuk 'Menongkah Badai: Ke arah Keterangkuman Perlindungan Sosial di Malaysia' pada Khamis.

Menurut KRI, pelaburan tertinggi bagi program tersebut akan berlaku pada tahun 2027 apabila ia mencapai liputan penuh iaitu RM12.3 bilion bagi bantuan RM100 sebulan dan RM18.5 bilion (RM150 sebulan).

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa dalam tempoh jangka panjang, jumlah pelaburan tahunan yang diperlukan akan menurun pada tahun berikutnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai laporan tersebut, Nor Mohamed berpandangan bahawa model perlindungan sosial negara perlu beralih daripada pendekatan berkebajikan yang hanya menyasarkan golongan miskin kepada aspek kitaran hidup yang lebih bersifat mencegah kemiskinan dan meningkatkan daya tahan dalam menangani isu kerentanan.

"Sudah sampai masanya untuk kita mentransformasi model sedia ada supaya negara lebih bersedia menghadapi masa hadapan yang kian mencabar, seperti kadar penuaan penduduk yang pantas dan keadaan pasaran buruh yang lemah.

“Cabaran ini jika tidak ditangani, boleh menggugat kemampuan negara dalam memastikan kebajikan rakyat pada masa akan datang. Oleh itu, adalah penting kita mengenal pasti dan cuba menangani isu-isu utama sistem perlindungan sosial Malaysia dari sekarang,” jelasnya.

Laporan KRI menjelaskan model perlindungan sosial kitaran hidup menggunakan pendekatan dasar yang dibentuk berdasarkan risiko dialami oleh seseorang individu dalam tiga peringkat utama kehidupan iaitu kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

Selain daripada pelaburan terhadap manfaat kanak-kanak sejagat, KRI turut menggariskan beberapa pertimbangan dasar lain antaranya perluasan liputan mandatori skim insurans sosial untuk penduduk dalam usia tua.

Laporan tersebut turut menyarankan pembangunan pencen insurans sosial untuk usia tua, pemantapan institusi perlindungan sosial dan pembangunan sebuah institusi perlindungan sosial negara dengan sistem maklumat bersepadu.