De Paula terus dapat kepercayaan Cheng Hoe

De Paula dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 1 Oktober ini.
De Paula dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 1 Oktober ini.
A
A
A

PENYERANG naturalisasi negara, Guilherme de Paula terus mendapat kepercayaan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk mengemudi jentera serangan negara bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu pasukan Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober 2021 di Amman, Jordan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan dua lagi pemain naturalisasi negara iaitu Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

Daripada senarai diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Cheng Hoe hanya mengekalkan 12 pemain daripada kem latihan pusat terdahulu pada Mei dan Jun lalu iaitu ketika menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE, Vietnam dan Thailand di Dubai, UAE.

Ketiadaan baki 14 pemain lain yang tidak dipanggil kali ini diisi oleh enam muka baharu yang mahu diuji Cheng Hoe iaitu penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Turut kembali tersenarai, enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini iaitu penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu FC, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Skuad Harimau Malaya akan melapor diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2021 sebelum berlepas ke Amman pada 2 Oktober 2021 bagi menghadapi Jordan dan Uzbekistan yang berlangsung dalam tempoh jendela perlawanan antarabangsa FIFA (4 hingga 12 Oktober 2021) dan dijadual pulang ke tanah air pada 10 Oktober.

Dua perlawanan ini merupakan medan terbaik buat Cheng Hoe menilai pemain yang dipanggil kali ini sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan seterusnya Pusingan ketiga, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.

Artikel Berkaitan: