Mohon pertimbang inisiatif gelembung pelancongan di Johor

Hasni
Hasni
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan diharap mempertimbangkan cadangan melaksanakan Inisiatif Gelembung Pelancongan di pusat peranginan dan beberapa pulau di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, usaha itu dilihat sebagai langkah terbaik untuk merancakkan ekonomi negeri tersebut selepas diumumkan beralih ke Fasa Dua Program Pemulihan Negara (PPN) bermula pada 24 September ini.

“Kerajaan Johor berharap Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan Gelembung Pelancongan ke pusat-pusat peranginan di Desaru, Kota Tinggi dan Kepulauan Mersing bagi melonjakkan sektor pelancongan.

“Seiring dengan peralihan ke fasa dua, Johor dilihat mampu meningkatkan usaha pemulihan ekonomi dengan lebih banyak premis perniagaan dapat beroperasi semula sekali gus mampu menggerakkan semula aktiviti ekonomi terjejas sebelum ini.

“Apabila lebih banyak pusat pelancongan, taman tema dan resort dibuka semula, aktiviti ekonomi akan lebih rancak sekali gus memberi impak positif terhadap pendapatan rakyat, negeri serta negara,” katanya dalam kenyataan pada petang Khamis.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengesahkan tiga lagi lokasi baharu iaitu Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands bakal menjadi destinasi baharu bagi pelaksanaan gelembung pelancongan negara selepas Pulau Langkawi, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berhubung prosedur operasi Standard (SOP) pada Selasa.

Sementara itu, Mohamad Hasni berkata, Kerajaan Johor terus berusaha gigih bagi meningkatkan kadar vaksinasi supaya segera mencapai imuniti kelompok 90 peratus seperti disasarkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga 22 September 2021, kadar vaksinasi di Johor berada pada tahap 73.3 peratus dengan seramai 1,988,503 warga dewasa sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Program vaksinasi bagi kategori remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang bermula pada 20 September lalu juga berjalan lancar, namun saya berharap ibu bapa mengambil berat perkara ini dengan memberi keizinan yang menjadi syarat utama pelaksanaannya.

“Kepada guru-guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19, fikirkanlah mengenai kesannya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran pelajar supaya tidak terjejas kerana vaksin ini amat penting dalam menjaga keselamatan serta kesihatan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan usaha mencapai sasaran 90 peratus imuniti kelompok, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak.