306 bot nelayan asing dilupus jadi tukun tiruan

Kamaruszaman membunyikan hon sempena merasmikan pelupusan bot rampasan Maritim Malaysia di perairan Pulau Susu Dara yang terletak kira-kira 10 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh pada Khamis.
Kamaruszaman membunyikan hon sempena merasmikan pelupusan bot rampasan Maritim Malaysia di perairan Pulau Susu Dara yang terletak kira-kira 10 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh pada Khamis.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melupuskan sebanyak 306 bot milik nelayan asing bernilai RM459 juta yang menceroboh perairan Malaysia dengan menjadikannya sebagai tukun tiruan sejak tahun 2007 hingga Khamis.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, kesemua bot itu telah dijadikan tukun di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu dalam usaha menambah stok bekalan ikan negara pada masa hadapan.

"Kesemua bot yang dijadikan sebagai tukun ini telah dilucut hak oleh pihak mahkamah selepas melakukan kesalahan menceroboh dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelupusan bot rampasan Maritim Malaysia di perairan Pulau Susu Dara yang terletak kira-kira 10 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud; Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman; Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dan Pengarah Bahagian Pengurusan Aset, Mohamad Shaffie Hassan.

Menurutnya, proses menenggelamkan bot-bot itu telah mendapat kerjasama penuh dari Institut Sumber Marin Asia Tenggara (Ismat) dalam menentukan lokasi yang bersesuaian.

Katanya, hal ini bagi memastikan kesesuaian lokasi itu tidak menjejaskan biodiversiti marin dan memberi manfaat kepada nelayan pesisir pantai.

Kamaruszaman berkata, dalam masa terdekat Maritim Malaysia Pahang akan menenggelamkan lagi tiga buah bot untuk dijadikan tukun tiruan di kawasan perairan Pulau Tioman.

Katanya, kerja-kerja itu akan dilaksanakan sejurus mendapat keputusan perlucutan hak oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Kamaruszaman berkata, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan lagi kawalan bagi memastikan perairan negara terus bebas daripada sebarang ancaman tidak baik terutama pencerobohan nelayan asing.

"Kita berharap komuniti tempatan dapat memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat jika melihat aktiviti pencerobohan oleh nelayan asing berlaku.

"Maritim Malaysia sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan negara," katanya.