Semak semula kekerapan cabutan khas judi: Pas

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas meminta supaya kerajaan menyemak semula keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu juga sejak dahulu lagi membantah isu berkaitan judi yang dibuat sama ada secara terbuka atau dalaman malah menganggap keputusan meningkatkan kekerapan itu tidak berasas dan tidak rasional.

"Pas sudah nyatakan bantahan secara terbuka, dan bantahan secara dalaman oleh ahli kabinet Pas juga telah dibuat. Kita berharap pihak Kementerian Kewangan menyemak semula keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan kepada Usahawantani Al Falah di Pusat Khidmat DUN Panchor di sini pada Khamis.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, beliau difahamkan keputusan itu sebenarnya dibuat di peringkat Kementerian Kewangan dan tidak dibawa ke kabinet.

"Kita (Pas) sebenarnya tidak boleh menyekat perkara itu daripada diputuskan sebab ia di bawah Kementerian Kewangan dan kita tidak boleh campur tangan.

“Kita sudahpun menjelaskan pendirian Pas sejak dahulu menentang apa sahaja perkara melibatkan judi. Bantahan sudah dibuat dan itu sahaja yang telah dilakukan setakat ini...lainlah kalau PAS berkuasa penuh dalam kerajaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: