Pelan komprehensif pastikan keselamatan murid

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin ketika sesi jawab soalan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin ketika sesi jawab soalan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan satu pelan komprehensif pembukaan semula sekolah bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka di sekolah dalam keadaan selamat.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan pelan tersebut, KPM menetapkan supaya kapasiti murid di sekolah dihadkan pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan.

“Bagi tujuan tersebut, kaedah yang digunakan adalah dengan menghadkan kapasiti murid di dalam kelas kepada 50 peratus daripada jumlah murid dalam kelas tersebut.

“Justeru, sistem penggiliran murid hadir ke sekolah mengikut minggu akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta penjelasan mengenai pelaksanaan pembukaan sekolah secara penggiliran.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, kaedah penggiliran ini membolehkan penjarakan fizikal dalam kelas yang lebih baik dan memudahkan guru memantau murid.

“Ini juga bagi mengurangkan kesesakan sewaktu pergerakan masuk dan penyuraian di sekolah,” jelasnya.

Katanya, bagi kelas yang melaksanakan penggiliran, murid di dalam kelas tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam satu-satu minggu hanya satu kumpulan sahaja yang akan hadir ke sekolah, manakala kumpulan yang satu lagi akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.